Alhamdulillah...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Buku Daftar Pelawat

Wednesday, December 31, 2008

Selamat datang 2009...Selamat Tinggal 2008

Selamat datang tahun 2009...moga tahun baru menjanjikan kebahagiaan dan kesejahteraan kepada semua penghuni alam. Mungkin sambutan tahun baru 2009 di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, London dan New York cukup meriah seperti tahun-tahun sebelumnya. Biasanya, sambutan tahun baru disulami dengan percikan bunga api,nyanyian dan juga tarian.
Mmm...malas nak guna bahasa berbunga-bunga..sepatutnya sambutan tahun baru kali ini bukan diiringi dengan konsert nyanyian, tarian dan percikan bunga api yang pastinya menelan berpuluh ribu ringgit. Kalau aku tak silap, konsert sambutan tahun baru di dataran Merdeka ditaja oleh salah sebuah bank terkemuka di Malaysia. Malah pemiliknya orang Islam era Islam hadhari. Sungguh malang...Bukankah nun jauh di semenanjung Gaza umat Islam di hujani dengan meriam, peluru berpandu dan ledakan bom tajaan zionis.
Elok sangatlah sambutan tahun baru di Malaysia diganti dengan solat hajat perdana untuk memohon keampunan dan keselamatan saudara seagama kita yakni umat Palestin yang dizalimi rejim zionis laknatullah. Rakyat Palestin sudah masuk hari keenam dibom dan rakyat biasa yang terkorban mencecah ratusan dan mungkin angka tersebut akan bertambah ke ribuan nyawa sekiranya tiada tindakan drastik daripada pihak OIC, PBB dan negara yang cintakan keamanan. Rejim zionis seakan sengaja membuat onar di tebing barat tatkala umat Islam menyambut tahun baru Islam Hijrah 1430. Mungkin pihak Israel sudah menganggap tiada siapa pun di pihak negara Islam yang berani bersuara dan membantu Palestin menentang mereka. Isu di tebing barat sememangnya sudah berpuluh tahun tidak dapat di selesaikan. Kita sebagai rakyat Malaysia sekadar memerhati dan membaca sahaja seorang demi seorang rakyat Palestin yang tidak berdosa dibunuh dan ditembak oleh tentera zionis. Jika dilihat sambutan tahun baru kali ini, rasa belas kasihan rakyat kita terhadap Palestin seakan dilupakan.
Mungkin semangat persaudaraan dan perpaduan dikalangan umat Islam sudah hilang. Jika wujud semangat tersebut mana mungkin rakyat kita boleh berseronok, bersuka ria dengan keadaan Palestin terus dibom dan dibedil pihak zionis. Memang betul kita tiada kuasa untuk melawan zionis tetapi senjata umat Islam bukankah melalui doa...Cukup terharu andainya pihak pemerintah mengumumkan bahawa solat hajat perdana dilangsungkan pada malam tahun baru kali ini. Bukan setakat memohon keselamatan umat Palestin malahan memohon doa juga untuk kesejahteraan negara Malaysia di tahun 2009 yang pastinya mencabar.

Tuesday, December 30, 2008

PMR 2008...Kualiti Meningkat!

PUTRAJAYA, 30 Dis (Bernama: 11:37AM)) -- Seramai 26,378 pelajar atau 5.96 peratus daripada 472,060 calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini mendapat Gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil, meningkat daripada 5.65 peratus pada tahun lepas dan 4.83 peratus pada 2006.
"PMR tahun ini juga menunjukkan peningkatan dalam semua mata pelajaran kecuali Geografi dan Bahasa Arab Komunikasi dengan Bahasa Inggeris menunjukkan peningkatan tertinggi iaitu 3.6 peratus," kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom ketika mengumumkan keputusan peperiksaan itu di sini, Selasa.
Beliau berkata pencapaian jurang perbezaan antara pelajar bandar dan luar bandar semakin mengecil terutamanya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi mata pelajaran Matematik pelajar luar bandar ialah 2.7 peratus berbanding 2.1 peratus di bandar manakala GPMP mata pelajaran Sains ialah 0.3 peratus pelajar luar bandar dan -0.3 peratus pelajar di bandar.
"Perbezaan yang kian mengecil itu menunjukkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan menerusi teras strategik yang kedua iaitu merapatkan jurang pelajar bandar dan luar bandar berjaya mencapai matlamatnya," katanya.
Mengenai jumlah calon yang tidak mencapai tahap penguasaan minimum dalam mata pelajaran yang diambil dengan mendapat sekurang-kurangnya semua D, Alimuddin berkata ia menunjukkan penurunan daripada 63.53 peratus tahun lepas kepada 62.93 peratus tahun ini.
Jumlah pelajar yang memperoleh semua E pula ialah 440 (0.10 peratus) berbanding 559 (0.13 peratus) pada 2007 dan 524 (0.13 peratus) pada 2006.
"Majoriti calon pada tahun ini juga mendapat gred yang lebih baik daripada Gred C untuk 12 mata pelajaran dan ini adalah sesuatu yang membanggakan," katanya.
Alimuddin berkata bilangan pelajar yang menjawab soalan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris turut menunjukkan peningkatan.
Pelajar yang menjawab soalan Sains dalam Bahasa Inggeris meningkat daripada 51.2 peratus berbanding 21.5 peratus tahun sebelumnya manakala pelajar yang menjawab soalan Matematik pula ialah 26.9 peratus berbanding 4.6 peratus tahun sebelumnya.
Selamat berjaya kepada semua calon PMR 2008. Bagi yang kurang baik, baiki dan tambahkan usaha untuk SPM 2010!
Selamat Maju Jaya Untuk Semua! Kegagalan dalam peperiksaan bukan bermakna gagal dalam hidup keseluruhannya.

Friday, December 26, 2008

Episod 'Bangau oh Bangau' di Bukit Antarabangsa

Maka tersebutlah kisah sebuah bukit yang indah dan megah seantero tanah Melayu dilanda bencana tanah runtuh yang mengorbankan 5 nyawa. Sungguh menyedihkan, tatkala umat Islam sedang membuat ibadah dan persiapan menyambut hari raya Aidil Adha, bencana alam seperti tanah runtuh menimpa. Amarah alam terhadap penghuni bumi tidak boleh dihalang lagi. Tanah runtuh sebenarnya sering berlaku di Malaysia cuma manusia yang diberi amanah sahaja yang tidak peka untuk mengambil langkah membendung kejadian sama berulang. Apa yang sering berlaku cuma pandai mendendangkan lagu 'Bangau Oh Bangau'. Akhirnya, yang berputih mata dan menjadi mangsa ialah penghuni di kawasan bencana.