Bakat dan kemahiran tidak boleh dipisahkan. Sebagai contoh, jika seseorang mempunyai bakat dalam bidang sukan, sudah pasti seseorang itu akan mudah mahir dalam bidang sukan yang mereka ceburi. Tetapi dengan syarat sentiasa mengasah bakat yang dikurniakan Allah swt.
Maksud bakat mengikut Kamus Dewan 1. kebolehan semula jadi: ia memang mempunyai ~ seniman; ~ terpendam bakat atau kebolehan (dlm bidang seni, penulisan dll) yg belum diketahui atau diperlihatkan kpd orang umum; 2. orang yg mempunyai kebolehan semula jadi: baik pengarang lama mahupun ~-~ baru tidak pernah menulis tentang konfrontasi; 3. bekas, tanda-tanda, kesan (bekas luka dll): luka itu meninggalkan ~; 4. alamat, tanda bakal terjadi sesuatu: awan hitam di langit ~ hujan; berbakat 1. mempunyai kebolehan semula jadi: murid yg ~; 2. berbekas: kepalanya ~ kerana ia memakai songkok; membakat 1. meninggalkan bakat (bekas, tanda): buih air laut yg~ di pantai; 2. mengalamatkan, menandakan: merah di Timur ~ terbitnya matahari.
Bakat mengikut takrifan Kamus Pelajar pula bermaksud kebolehan ataupun kecekapan yang menjadi pembawaan sejak lahir.
Manakala takrifan kemahiran menurut Kamus Dewan bermaksud kecekapan, kepandaian. Peribahasa ada mengatakan bahawa kemahiran itu sebaik-baik guru yang membawa maksud sesuatu pekerjaan akan menjadi sempurna apabila dikerjakan oleh orang yang ahli.
Senario perkaitan bakat dan kemahiran boleh diperjelaskan dengan kisah berikut.
Richard Tong sebelum menjadi seorang penggulung belon profesional tempatan sebenarnya gemar menghiburkan rakan sekolah melalui lawak jenaka dan bahan-bahan seni kreatif. Detik-detik cukup bermakna yang penuh dengan keseronokan itulah akhirnya menarik lelaki ini menjejaki profesion menggulung belon ini.
Keghairahan terhadap hobi menggulung belon sentiasa membakar dalam sanubari Richard sehingga beliau sanggup menyimpan duit saku yang diberi oleh ayahnya untuk membeli pelbagai jenis belon. Namun, kegagalan menemui sumber tepat untuk mempelajari kemahiran melilit belon membuatkan hobi tinggal sekadar hobi sahaja.
Tetapi lelaki yang berasal dari bandar Klang ini tanpa berputus asa mencari buku-buku berkaitan teknik dan rahsia menggulung belon yang diimport dari Amerika Syarikat (AS), Jepun, United Kingdom (UK), Korea dan China untuk mengasah ilmu tentang bidang itu. Daripada bingkisan kisah tersebut dapatlah dirumuskan bahawa bakat seseorang dalam sesuatu bidang dapat dikesan sejak kecil lagi dan untuk memahirkan bakat yang ada maka perlulah diasah bakat tersebut. Dalam hal ini, ibu bapalah yang memainkan peranan penting. Selain mengesan bakat, dorongan dan sokongan dari segi masa dan wang ringgit perlu diberikan terhadap anak-anak supaya bakat yang mereka ada boleh digunakan untuk membina kejayaan di masa depan mereka. Sebenarnya banyak contoh yang boleh diambil dari kisah-kisah kejayaan seseorang yang menggunakan bakat dan kemahiran dalam bidang masing-masing seperti Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chong Wei dan David Bekham.
No comments:
Post a Comment