Perempuan yang sedang marah perlu dipujuk dengan kasih sayang. Dengar dengan teliti apa yang diperkatakan. Jangan beri komen ataupun cuba beri nasihat. Perselisihan faham memang tidak dapat dielakkan kerana manusia mempunyai pendapat yang berbeza. Bertolak ansur adalah kunci kebahagiaan pasangan yang bercinta.
Pahit manis percintaan
Manusia itu diciptakan berpasangan antara lelaki dan perempuan. Pastinya mereka saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Apabila ada jodoh antara kita dan dia, memang itu adalah pasangan yang sesuai. Bercinta itu memang indah, tetapi indah lagi cinta itu apabila ditambah manis dan pahit di dalamnya. Barulah ada cabaran dalam mencari cinta suci.
Pujuk kekasih kita
Hubungan cinta mana yang tidak ada perselisihan faham. Apabila perempuan marah, pujuklah dia dengan kasih sayang. Tanya kepadanya perkara yang menyebabkan dia marah. Kita perlu bertanya pada waktu yang sesuai. Biar dia melepaskan kemarahannya dahulu. Kemudian, dengar dengan teliti perkara yang diperkatakan dan jangan sesekali beri komen ataupun beri nasihat. Orang perempuan mudah sayang kepada lelaki yang pandai mendengar dan sensitif dengan perasaannya. Oleh itu, kaum Adam perlu banyak belajar mendengar daripada bercakap. Sementara itu, apabila lelaki marah, jangan terburu-buru hendak bertanya kepadanya sebab dia marah. Ini hanya menambahkan lagi kemarahannya. Berikan masa kepadanya untuk berfikir secara rasional. Lebih baik kita cuba pamerkan kasih sayang kita kepadanya. Suasana yang tenang mungkin dapat membantunya menghilangkan rasa marah. Jangan sesekali mendesaknya.
Mengalah bukannya kalah
Mengalah bukan bererti kalah. Sebaliknya dengan mengalah kita mungkin menang. Dalam percintaan, salah seorang daripada kita perlu bersikap tolak ansur. Ia bagi memastikan hubungan yang dibina dapat kekal lama. Jika masing-masing keras kepala, pasti hubungan cinta kita terputus di pertengahan jalan.
Memang dalam percintaan pasti ada manis dan pahit.
Perselisihan faham memang tidak dapat dielakkan kerana manusia mempunyai pendapat yang berbeza. Oleh itu, persefahaman penting. Kalau boleh, cuba bertolak ansur dan bersifat mengalah. Pasti suatu masa nanti dia sedar betapa baiknya diri kita dan betapa bertuahnya dia memiliki kita. Kunci persefahaman Adakah kita rasa dengan mengalah dalam suatu perkara dan keadaan bererti kita orang yang lemah dan pendapat kita tidak dihormati? Sebenarnya, sifat bertolak ansur dalam percintaan adalah kunci berjayanya hubungan yang dibina. Cuba bayangkan sepasang kekasih yang sedang bergaduh. Masing-masing cuba mempertahankan pendapat mereka. Kedua-dua mereka tidak mahu mengalah dan tetap dengan prinsip dan pendapat mereka. Apabila keadaan ini berlarutan, selalunya hubungan cinta mereka tidak kekal lama. Kita perlu sentiasa bertolak ansur apabila berlaku sebarang silap faham ataupun rasa tidak puas hati dengan tindakannya. Apabila kita marah, ini hanyalah memburuk-kan lagi hubungan cinta kita. Bukankah memaafkan itu perkara terindah dan mulia?
Kembali ceria
Apabila masing-masing bersikap tolak ansur, hubungan cinta pasti kembali mekar dan ceria. Mulakan hari-hari kita dengan rasa gembira dan penuh yakin. Mudah bagi kita menghadapi sebarang masalah apabila sentiasa bersikap tolak ansur. Segala silap faham dapat diselesaikan dengan segera. Kita tidak perlu bergaduh dan bermasam muka dengannya. Bukankah sikap tolak ansur ini membawa lebih banyak keuntungan dalam perhubungan? Oleh itu, tanamkan sifat ini dalam diri dan sentiasa memaafkan kesalahan dan kesilapannya.
No comments:
Post a Comment