rencana
Utusan malaysia 8 mei 2008
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL(WARTAWAN UTUSAN)
ROH perjuangan sebenar UMNO dalam membela nasib dan maruah orang Melayu perlu ditiup ke dalam diri setiap ahli-ahli UMNO terutamanya di kalangan generasi muda.
IBARAT perjalanan hidup seorang manusia, usia 62 tahun UMNO yang akan disambut pada 11 Mei ini pastinya sarat dengan pelbagai kisah dan pengalaman yang luar biasa.
Suka dan duka bersilih ganti dengan cabaran serta ujian dan biarpun pernah hampir rebah, semua itu berkumpul menjadi satu kekuatan dan kematangan untuk UMNO bertahan sehingga kini.
Peredaran zaman turut menyuntik kekuatan yang berbeza buat UMNO namun, paksi perjuangannya tidak pernah sekali-kali tergelincir daripada landasan membela nasib dan maruah bangsa Melayu.
Justeru, biar lahir sebanyak mana sekali- pun sayap perjuangan UMNO, aspirasi yang didukung tetap sama meskipun mereka mungkin berbeza pendirian dalam banyak perkara.
Begitu juga dengan perjuangan Putera serta Puteri UMNO. Tidak keterlaluan jika dikatakan sayap parti itu memainkan peranan yang sangat besar sebagai langkah pemula kepada generasi muda untuk memahami erti perjuangan bangsa menerusi kekuatan politik.
Dengan hakikat itu, sambutan ulang tahun ke-62 UMNO bagi Putera dan Puteri kali ini pastinya bakal disambut dengan pengertian yang lebih besar dan disulami harapan supaya suara mereka sentiasa menjadi wadah kepada perjuangan sebenar UMNO.
Seperti yang dijelaskan oleh Ketua Puteri UMNO Melaka, Mas Ermieyati Samsudin, usia 62 tahun UMNO tidak boleh ditafsir sebagai sebuah parti yang kuat sebaliknya tempoh itu seharusnya membayangkan bahawa UMNO sebenarnya semakin berdepan dengan cabaran yang lebih hebat.
Peningkatan usia UMNO saban tahun katanya, perlu disusuli dengan muhasabah di kalangan ahli-ahlinya dengan bersaksikan perjuangan tokoh-tokoh UMNO terdahulu dalam memberikan kesenangan kepada generasi hari ini.
Dalam masa yang sama tambah Mas Ermieyati, ahli-ahli UMNO juga perlu melihat cabaran dan perjuangan UMNO dari sudut pandangan yang lebih luas seterusnya mendepani setiap rintangan yang mendatang dalam perspektif dan persekitaran semasa.
''Situasi ini secara tidak langsung akan membawa perjuangan UMNO kepada meyakinkan generasi muda hari ini bahawa parti ini adalah survival orang Melayu dan terbina pada asas untuk memperjuangkan nasib dan maruah orang Melayu.
''Harus diakui usaha ini adalah satu tanggungjawab yang berat kepada UMNO termasuklah Puteri,"katanya.
Mengimbas apa yang berlaku pada PRU-12 lalu, Mas Ermieyati berkata, banyak pihak menuding jari kepada orang muda yang dikatakan tidak memberi sokongan sehingga membawa gelombang perubahan yang sangat besar kepada landskap politik negara.
Justeru jelasnya , seperkara yang mungkin dapat diperhalusi daripada isyarat tersebut ialah 'peralihan kuasa' perlu dilaksanakan dalam UMNO.
Relevan Ia boleh direalisasikan dengan membuka ruang yang lebih besar kepada generasi muda untuk membawa perubahan yang relevan dengan kehendak zaman di dalam parti itu.
UMNO juga tambah beliau, perlu menyuntik nafas baru kepada generasi muda dengan memberi kepercayaan kepada golongan itu untuk mentadbir dan mencorak perjuangan parti seiring dengan pandangan dan aspirasi orang muda.
''Jika kita perhatikan kebanyakan yang menjadi tunjang kepada UMNO hari ini adalah generasi sebelum merdeka sedangkan gelombang perubahan politik ketika ini banyak dicetuskan oleh generasi selepas merdeka.
''Justeru, UMNO tidak boleh mengelak daripada satu perubahan yang mantap dan padu untuk memastikan kelangsungan perjuangan parti untuk Melayu ini," ujarnya.
Mengharapkan pengisian ulang tahun UMNO ke-62 kali ini melebihi sekadar sebuah perhimpunan semata-mata, Pengerusi Putera UMNO Johor, Rusdin Mahamud pula menjelaskan, adalah lebih baik sekiranya roh dan semangat perjuangan sebenar UMNO disemarakkan lagi terutamanya di kalangan generasi muda.
Golongan itu hari ini katanya, perlu disuntik dengan semangat, jati diri, kesedaran dan tanggungjawab hakiki tokoh UMNO terdahulu yang berjuang membebaskan negara daripada tangan penjajah.
Biarpun kiblat perjuangan itu tidak lagi sama, beliau percaya, semangat juang tokoh terdahulu itu tidak harus mati.
Ia sebaliknya mesti terus mengalir dalam darah generasi muda sebagai spiritual dan roh perjuangan memastikan UMNO terus berdiri tegak dan megah membela nasib orang Melayu.
Berpegang kepada semangat itu, katanya, setiap ahli UMNO pastinya tidak akan tergelincir daripada asas perjuangan parti yang sebenar iaitu menegakkan kepentingan bangsa dan agama melangkaui kepentingan dan kesenangan peribadi.
''Sambutan ulang tahun UMNO pastinya lebih bermakna sekiranya setiap ahli UMNO yang meraikannya memiliki roh perjuangan untuk membela bangsa serta menjadi penggerak dan bukannya pengikut semata-mata," katanya.
Harapan serupa turut disandarkan oleh Ketua Puteri Kedah, Shahanim Mohd. Yusof yang dalam mendekati generasi muda terutamanya di negeri itu, akan menubuhkan sebuah koperasi usahawan siswazah sebagai platform menyatukan wanita muda untuk menggerakkan aktiviti ekonomi.
Bagaimanapun beliau menarik perhatian sempena ulang tahun penubuhan UMNO ke-62 nanti supaya kakitangan kumpulan A iaitu pengurus dan profesional diberi ruang untuk kembali menyumbang kepada pembangunan UMNO.
Tambah beliau, UMNO ketika ini ketandusan pemimpin pewaris yang berkarisma dan berwibawa sekali gus memerlukan satu platform yang lebih luas dalam melahirkan pemimpin dengan ciri-ciri tersebut.
''Adalah sesuatu yang merugikan apabila golongan ini yang mempunyai pengalaman, kemahiran dan kebijaksanaan yang tinggi terpaksa menyalurkan kelebihan itu kepada pembangkang kerana dikekang penglibatan mereka dalam UMNO," katanya.
Pembaca yang budiman,nyatakan pandangan dan komen anda mengenai rencana tersebut.
No comments:
Post a Comment