Pembohongan dahsyat Tuduhan Balasubramaniam usaha Anwar alih perhatian umum – Najib
Utusan Malaysia 4 Julai 2008
Oleh HERMAN HAMID dan NIZAM YATIM
KUALA LUMPUR 3 Julai –
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan akuan bersumpah penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang mengaitkannya dengan Altantuya Shaariibuu dan menyifatkan dakwaan itu sebagai satu pembohongan yang amat dahsyat.
Timbalan Perdana Menteri yakin perakuan terbaru itu merupakan usaha terdesak Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengalih perhatian umum daripada tuduhan liwat yang dihadapinya.
Najib sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengenali atau berjumpa dengan wanita Mongolia yang disebut dalam perakuan bersumpah itu.
‘‘Oleh itu, akuan bersumpah berkenaan saya anggap sebagai satu pembohongan yang amat dahsyat, rekaan semata-mata, berniat jahat, berunsur fitnah dan bertujuan mencemar imej saya,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini lewat petang ini. Sidang akhbar selama kira-kira 10 minit itu dihadiri oleh wakil media tempatan dan asing.
Hari ini, Balasubramaniam yang turut dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya, mengedarkan kepada media salinan akuan bersumpah itu dan memberikan beberapa butiran yang didakwanya menunjukkan hubungan awal antara Altantuya dan Najib.
Penyiasat persendirian yang pernah diupah oleh Abdul Razak Baginda itu berbuat demikian pada sidang akhbar bersama Anwar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, persoalannya sekarang bukan perkara yang bertujuan mengalih tumpuan tetapi rakyat hendak mengetahui sama ada kes liwat yang dihadapi oleh Anwar itu benar berlaku atau tidak.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak-pihak yang berkenaan akan menyiasat sepenuhnya dan mengumumkan hasil siasatan kepada umum secepat mungkin.
“Berhubung akuan bersumpah ini, oleh kerana ia bercanggah dengan kenyataan di mahkamah dan juga dengan laporannya (Balasubramaniam) kepada pihak polis, maka saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat sepenuh-penuhnya.
“Pihak yang bertanggungjawab mestilah sanggup untuk menerima apa-apa tindakan akibat daripada perbuatannya itu sekiranya pihak berkuasa mendapati ada kesalahan dari segi undang-undang,” jelasnya.
Ditanya sama ada beliau melihat perakuan bersumpah itu sebagai serangan peribadi Anwar terhadap beliau, Najib berkata: “Soalnya kenapa berlaku sekarang, setelah kes liwat itu timbul, tiba-tiba semua pihak diserang, Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) diserang, Peguam Negara (Tan Sri Abdul Gani Patail) diserang dan saya diserang.
‘‘Kenapa sekarang? Ini persoalannya. Kita tak boleh alih daripada isu utama sama ada kes liwat berlaku atau tidak.”
Anwar semalam membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor terhadap Musa dan Abdul Gani, mendakwa kedua-duanya menyembunyikan fakta dan memalsukan maklumat dalam kes serangan fizikal terhadapnya oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada 20 September 1998.
Khamis lepas, pembantu Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur, mendakwa dia diliwat oleh majikannya di sebuah kondominium di Bukit Damansara.
Menjawab soalan media asing sama ada beliau pernah mengadakan hubungan seks dengan Altantuya, Najib menegaskan: ‘‘Sudah tentu tidak sama sekali. Saya tidak pernah pun bertemu dia (Altantuya).”
Mengenai kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap akuan bersumpah itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, setakat ini beliau menyerahkannya kepada polis untuk mengambil tindakan.
‘‘Saya ada hak juga sebagai warganegara. Saya boleh mengambil tindakan undang-undang secara peribadi, tetapi yang lebih penting ialah tindakan terhadap individu di bawah undang-undang seperti jenayah memfitnah,” katanya.
Ditanya apakah tuduhan ini akan menjejaskan reputasinya atau mungkin ada kena-mengena dengan pemilihan UMNO akan datang, Najib menegaskan, beliau tidak risau kerana kebenaran akan terbukti.
‘‘Saya amat relaks. Macam yang boleh awak tengok, saya boleh senyum. Saya tidak risau kerana kebenaran akan terbukti. ‘‘Saya percaya dengan sistem yang ada dan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan, jadi kenapa nak bimbang. Hidup perlu diteruskan seperti biasa dan pada saya, urusan seperti biasa,” jelasnya.
Ditanya sama ada beliau bersedia untuk disiasat oleh pihak polis, Timbalan Perdana Menteri meminta wartawan memberikan satu sebab mengapa ia perlu dilakukan.
‘‘Kenapa saya perlu disiasat? Bagi saya satu sebab? Polis telah menyiasat sepenuhnya kes Altantuya, jadi mereka tahu semuanya,” jelasnya.
Kita lupakan seketika kemelut yang berlaku, apa yang lebih penting untuk saya kemukakan ialah tahap kawalan emosi seseorang individu di dalam keadaan di landa masalah. Kawalan emosi yang baik sangat diperlukan oleh semua orang tidak kira rakyat biasa mahupun golongan pemimpin...Apa yang dapat dipelajari daripada kata-kata pemimpin tersebut ialah RELAKS, SENYUM, TAK BIMBANG..Mengikut penulis buku motivasi Dr.Sidney Bremer Phd, kata-kata positif adalah benteng ataupun pengawal kepada minda seseorang daripada diserang oleh perasaan negatif seperti marah, bimbang dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment