Hari ini 17 Ramadhan adalah hari Peperangan Badar, hari dimana Rasulullah saw mengetuai 313 orang sahabat untuk bertempur dengan lebih 1,000 orang musyrikin Mekah untuk mempertahankan aqidah Islam dan survival ummah. Badar berakhir dengan kemenangan buat Islam, Badar menyaksikan betapa saf Islam yang dipimpin Rasulullah dengan dinaungi pertolongan Allah swt telah mencapai kemenangan besar sehingga menundukkan musuh-musuh Allah, dan menyuburkan bumi Islam untuk berkembang luas.
Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang merakamkan di dalam kitabnya “Fiqh al Harakah dari Sirah Nabawiyyah”: Peperangan Badar telah mempamirkan secara praktikal keteguhan iman para sahabat, satu tanzim yang sangat baik dan jihad yang penuh pengorbanan. Dan menurut Tuan Guru lagi antara pengajaran yang boleh dipetik dari peristiwa Peperangan Badar ini adalah bahawa: Para Mujahid Islam berperang dengan penuh keimanan dan bersedia mengorbankan apa sahaja. Semua tugas dilaksanakan dengan hati yang ikhlas dan berlumba-lumba mengerjakan amal salih tanpa terasa dipaksa. Alangkah bertuahnya kita dalam gerakan Islam hari ini kiranya semangat dan pengorbanan Badar itu bersarang dalam hati kita masing-masing. Di zaman yang penuh mehnah dan pancaroba ini sudah pastilah kemenangan Badar sangat kita tunggu-tunggu dan nanti-nantikan. Badar membuktikan ketaatan para sahabat kepada Rasulullah selaku pemimpin dan kecintaan serta keimanan menebal terhadap Allah swt. Di dalam kitabnya itu Tuan Guru merakamkan: Seorang sahabat yang bernama Auf bin Harith bin al Ghafra berkata (kepada Rasulullah saw): “Apakah perkara yang menggembirakan Tuhan apabila dilakukan oleh hambanya?” Rasulullah saw bersabda: “Mengeluarkan tangan menghadapi musuh dengan terbuka”. Apabila mendengar jawapan Rasulullah beliau terus membuang perisainya dan mengambil pedang memerangi musuh sehingga gugur syahid (Allahuakbar!). Arahan Rasulullah saw supaya menyerang musuh dilaksanakan dengan penuh keimanan.Dalam ketiadaan Rasulullah saw, maka kepimpinan digalas pula oleh para ulamak, yang sewajarnya memimpin dengan tidak lekang jiwa dan semangat serta komitmen mereka terhadap perjuangan suci ini. Segala tutur, fikir dan geraknya mestilah berpandukan al Quran dan Sunnah, sebagaimana yang diwarisi dari Rasulullah saw. Kita yang pasca Badar ini perlukan panduan, dorongan dan suntikan semangat dari mereka kerana medan tempur kita hari ini semakin luas dan gawat, jika tidak kita berhati-hati kita pasti tewas dan tergelincir sebelum bertempur. Hari ini 17 Ramadhan dikenali juga dalam kalendar Islam sebagai Hari Nuzul Quran, hari ini menurut lipatan sirah adalah hari dimana al Quran diturunkan kepada Baginda Rasulullah saw di Gua Hira’ untuk disampaikan kepada umat manusia, bukan untuk sekadar dibaca dan disimpan di rak atau peti kaca, tetapi ia untuk dilaksanakan dijadikan hukum tertinggi untuk menyusun kehidupan masyarakat dan Negara. Betapa indahnya jalinan Nuzul Quran dan Badar ini bagi kita yang berjuang menegakkan kalimah Allah swt ini. Quran inilah hukum tertinggi kita, kerana Quran inilah kita tegak berjuang pada hari ini, dan Badar adalah contoh komitmen dan kesediaan kita untuk berjuang mempertahankan al Quran ini walau apa yang bakal berlaku ke atas diri kita. Benarlah firman Allah swt: Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu lalu diperkenankannya bagimu, sesungguhnya Aku akan mendatangkan bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut. Dan Allah tidak menjadikan melainkan sebagai khabar gembira dan agar hatimu menjadi tenteram kerananya, dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Ayuh kita menuntut kemenangan sebenar sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul Nya itu.
p/s Dipetik dan diedit dari roslan sms
1 comment:
Post a Comment