Entri kali ini memetik pandangan Tun Dr Mahathir mengenai isu PPSMI
on March 13, 2009 6:48 PM Permalink Comments (564) TrackBacks (0) .Berikut pandangan beliau mengenai isu tersebut:-
1. Saya berasa amat sedih apabila membaca laporan berkenaan demonstrasi yang dipimpin oleh tokoh sastera Melayu menentang pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.
2. Kononnya ini akan menidakkan kebolehan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam ilmu ini. Konon ia akan mengurangkan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. 3. Kita harus ingat bahawa pelajaran bukan semata-mata untuk memaju atau mengembangkan bahasa. Pelajaran adalah untuk penguasaan ilmu, pelbagai jenis ilmu.
4. Yang boleh meningkatkan taraf dan kemajuan bahasa ialah matapelajaran bahasa itu sendiri dan diperingkat yang lebih tinggi mata pelajaran sastera. 5. Sains dan matematik tidak mungkin menolong kemajuan bahasa, khususnya bahasa Melayu. 6. Ini disebabkan bahasa sains dan matematik bukan daripada bahasa Melayu. Sebahagian besar daripada perkataan-perkataan dalam mata pelajaran ini adalah dalam bahasa Latin yang di-Inggeriskan. 7. Memang benar kita boleh Melayu-kan perkataan-perkataan ini, seperti juga kita Melayu-kan perkataan daripada lain-lain bahasa. 8. Memang boleh tetapi perkataan-perkataan sains bukan satu dua tapi beratus-ratus. Dan perkataan ini menjadi asas kepada perkataan yang mempunyai makna yang amat berlainan. 9. Umpamanya perkataan Oxygen (Oksigen) - satu jenis gas. Derivative (cabang) daripada perkataan ini adalah seperti berikut; • Oxygenation• Oxidation• Oxide• Oxidants• Deoxydation• Oxidise• Oxidification• Dioxide• Monoxide• Peroxide10. Ini hanya bagi satu elemen daripada sebanyak 120 (118) elemen. 11. Tiap satu mempunyai banyak derivative. Tetapi ada perkataan-perkataan lain yang hanya untuk ilmu sains. Jika semuanya nak di-Melayukan, bahasa Melayu akan bertukar menjadi bahasa Inggeris, ejaan lain bunyi semacam. Sebenarnya ia bukan bahasa Melayu lagi. 12. Ilmu sains dan matematik bukan ilmu yang statik. Ilmu-ilmu ini berkembang sepanjang masa. Tiap hari ada hasil kaji selidik, penerokaan, ciptaan dan perluasan yang diperkenal melalui ratusan kertas-kertas yang ditulis. 13. Hampir semua ditulis dalam bahasa Inggeris. Untuk menterjemah tulisan ini kita perlu orang yang fasih dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan faham ilmu yang hendak diterjemah. 14. Kita ada beberapa kerat sahaja orang yang berkebolehan seperti ini. Itupun dalam dua tiga bidang sahaja. Orang yang layak seperti ini tidak berminat menjadi penterjemah seumur hidup. Apabila sains dan matematik diajar dalam bahasa Melayu, orang seperti ini tidak akan ada lagi. Bagaimanakah kita hendak ikuti perkembangan ilmu sains? 15. Sebaliknya kertas ilmiah akan terus dikeluarkan beratus-ratus lagi, semuanya dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain. Maka tanpa kebolehan menterjemah semua ilmu baru ini akan tertinggallah orang Melayu dalam bidang ilmu yang amat penting di zaman ini. 16. Kalau kita masih tidak dapat menerima kenyataan di atas, kaji sahaja jumlah Phd dalam bidang sains yang hanya belajar sains dalam bahasa Melayu dan tidak faham bahasa Inggeris. Berapa ramaikah daripada pakar dalam bidang perubatan yang hanya belajar dalam bahasa Melayu, tanpa buku dalam bahasa Inggeris sebagai buku teks. 17. Apakah penuntut luar bandar tidak dapat menguasai bahasa Inggeris? 18. Sekali lagi perhitungan perlu dibuat berkenaan jumlah mereka yang dari kampung yang memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan dan swasta kerana lulus dalam bahasa Inggeris dan mampu berhujah dalam bahasa berkenaan. Yang menentang PPSMI pun dari kampung juga tetapi dapat kelulusan bahasa Inggeris. Bahkan mereka sering berbahasa Inggeris. 19. Duta dan diplomat kita, berapa ramaikah yang hanya boleh bertutur kata dalam bahasa Melayu yang memegang jawatan penting dalam Kementerian Luar? 20. Pakar sains dan perubatan dan juga pegawai tinggi Kerajaan sering dikehendaki mengambil bahagian dalam persidangan antarabangsa. Apakah mereka dapat berhujah dan mengambil bahagian secara berkesan dengan mengguna hanya bahasa Melayu? 21. Saya bukan hendak memandang rendah bahasa bangsa saya sendiri. Tetapi saya perlu terima hakikat yang sebenar. 22. Bahasa sesuatu bangsa akan dipelajari oleh orang asing jika bangsa itu amat maju dan terkenal dengan ilmu yang dimiliki dan diterokai olehnya. Demikian sebelum abad ke-15 Masihi orang Eropah terpaksa belajar bahasa Arab kerana tamadun Islam pada masa itu gah dan amat dihormati. Tetapi selepas orang Islam ketepikan sains, ilmu perubatan dan hisab, orang Eropah tidak lagi mempelajari bahasa Arab. Sebaliknya orang Arab dan Islam terpaksa belajar bahasa Eropah. 23. Jika kita ingin bahasa Melayu digunakan dengan meluas kita perlu majukan diri kita dalam semua bidang terutama bidang ilmu dahulu. Sebelum daripada itu minat untuk belajar bahasa Melayu akan terhad kepada sekumpulan kecil sahaja. 24. Kita belajar sains dan matematik untuk memajukan bangsa kita supaya satu hari mungkin kita akan terkenal berkenaan dengan penerokaan dan kajiselidik oleh kita dan orang lain akan belajar bahasa kita untuk mendapat ilmu yang diteroka oleh kita. 25. Penguasaan ilmu amat penting bagi masa depan seseorang. Janganlah kita perjudikan masa depan anak orang kerana kononnya kita seorang nasionalis yang begitu sayang kepada bahasa kita. Sayang bahasa tidak boleh melebihi sayang bangsa. Mereka yang sayang bangsa mereka ingin lihat bangsa mereka maju, berilmu dan dihormati dunia. Hanya kerana boleh bertuturkata dalam bahasa sendiri tidak akan menjadikan bangsa kita dihormati dan disegani orang. 26. Akan rosaklah bangsa dan negara jika dasar negara ditentukan oleh orang yang berdemonstrasi. Lebih rosak lagi jika yang berdemonstrasi didalangi oleh politik pembangkang.
No comments:
Post a Comment